Friday, December 31, 2010

Kad Kredit Sayang

Bila jalan-jalan di shopping kompleks pada hujung minggu bersama keluarga, kita sering disapa dengan ramah oleh anak-anak muda yang mewakili institusi kewangan yang jelas kelihatan dengan logo syarikat pada t-shirt dan tag nama yang mereka kenakan.
“Encik/ Puan/Kakak/Abang, kami sedang buat promosi kad kredit…bla…blaa…blaa, "banyak kelebihan kad ini encik berbanding dengan apa yang encik ada....bla...bla...blaa “Baguslah kalau encik dah bersetuju, sila tandatangan borang ini, esok atau lusa kad kredit akan sampai pada alamat encik”.



Mudahnya, institusi kewangan begitu cekap “menolong” pelanggan/mangsa (bergantung bagaimana anda mengawal kad kredit). Mereka berlumba-lumba untuk mengeluarkan kad kredit seolah-olah ada target yang jelas untuk mereka capai pada setiap bulan atau minggu. Pengguna kadangkala “terjerat” dengan kad kredit yang dihadiahkan oleh bank A, B atau C dengan 2, 3 atau lebih kad kredit kononya akan digunakan di masa susah, berbelanja di luar negara dsb.




Apa faedah kepada institusi kewangan ini dengan 'menghadiahkan' kad kredit kepada pengguna?

Ringkasan apa yang institusi kewangan perolehi seperti jadual di bawah:




Banyaknya 'derma' yang kita tolong 'sumbang' pada institusi kewangan ini, diringkaskan mengikut darjah 'kesayangan'
Level 1 - Paling Disayangi oleh institusi kewangan  , Level 5 - Kurang Disayangi
Level 1
Pelanggan yang mempunyai banyak kredit kad, lebih-lebih lagi kad-kad gold dan mempunyai balance outstanding hampir maksima dan selalu membuat cash advance, pembayaran hutang secara bayaran minima. Selalu apply kad tambahan bila kad-kad yang ada hampir berbaki maksima. "Every Breath You Take, Every move you make, Every Bond You Break,Every Step You Take, I'll Be Watching You"!!

Level 2
Mempunyai beberapa kad kredit premium dan sentiasa berbaki, pembayaran sepenuhnya biasanya pada akhir tahun bila mendapat bonus tahunan.
Level 3
Guna kad kredit premium, Gold atau Platinum dan selalu berbelanja tinggi menngunakan kad kredit. Baki diselesaikan sepenuhnya pada akhir bulan. Institusi kewangan mendapat pendapatan dari caj tahunan yang tinggi dan caj 2.5% daripada peniaga/peruncit.
Level 4
Hanya menggunakan kad kredit Standard, berbelanja sekali sekala dan membuat bayaran sepenuhnya pada akhir bulan.
Level 5
Tidak menggunakan kad kredit, guna debit kad untuk transaksi internet / tempahan hotel /booking flight ticket.

Sayangkah kita pada institusi kewangan yang banyak 'membantu'?

Wednesday, December 29, 2010

Yang Mana Satu Pilihan Kalbu

Kali ini saya ingin membincangkan tentang beza harga (spread) dalam jual beli emas. Dalam bahasa mudah spread adalah perbezaan harga beli dan harga jual. Memahami dan menganalisa beza harga adalah penting bagi memaksimumkan keuntungan dalam pelaburan emas.
Kaedah Pengiraan
Bank Selling (harga yang dibeli oleh pelabur)               A
Bank Buying (harga jualan emas oleh pelabur              B

Peratus beza harga = (A – B) / B X 100

Peratus beza harga yang kecil lebih memaksimakan keuntungan kerana apabila harga meningkat, pelabur akan dapat membuat keuntungan yang lebih cepat berbanding dengan produk yang mempunyai peratusan beza harga yang tinggi.

Sila lihat analisa ringkas tentang beza harga beberapa produk pelaburan emas. (Peratusan beza harga mungkin sedikit berbeza dari masa ke semasa, pemerhatian dibuat di akhir Disember 2010)

Dari analisa ringkas di atas beberapa pemerhatian dapat dibuat;
  • Bullion coin 1 oz mempunyai beza harga yang rendah berbanding produk lain, beza harga Kijang Emas adalah 3.93% (average spread for 9 yrs). Bagi saya produk ini adalah yang terbaik sekiranya dilabur dalam pasaran tempatan. Produk-produk 1 oz lain yang ditawarkan oleh UOB seperti Australian Nugget, Gold Maple Leaf juga menarik untuk dilaburkan dalam negara dan juga mempunyai ramai peminat di luar negara.
  • Produk 1 gram Pamp Gold dan Kinebar mempunyai peratusan yang amat tinggi. Kinebar 58.75% dan Pamp Gold 48.90%. Produk ini mungkin kurang sesuai untuk pelaburan kerana ianya memakan masa tertalu lama untuk mendapatkan pulangan. Mungkin ianya hanya sesuai untuk simpanan sekadar hobi.
  • Peratusan beza harga juga berkait rapat dengan risiko matawang sesebuah negara. Produk 1 oz Gold Kiwi yang ditawarkan oleh NZ Mint mempunyai peratusan beza harga sebanyak 9.19% sekiranya dibeli dan dijual dalam NZ Dollar tetapi produk yang sama mempunyai peratusan beza harga yang lebih rendah 7.76% sekiranya urusan dalam US Dollar.
  • Untuk tujuan pelaburan produk-produk Kijang Emas, 1 oz, ½ oz dan ¼ oz adalah yang terbaik. Peratusan beza harga yang rendah mungkin membuatkan produk ini selalu kehabisan stok. Walaubagaimanapun untuk tujuan pelaburan, anda mungkin boleh membuat pilihan produk-produk lain yang mempunyai peratusan beza harga di bawah 12%.
  • Sebagai perbandingan, barang kemas mempunyai peratusan yang agak tinggi, mungkin di antara 20%-40%.
Pilihan kalbu hendaklah berdasarkan ilmu.

Melabur, jangan jadi lebur

Mungkin ada yang terlupa.
Pelaburan emas sejak kebelakangan ini menjadi tajuk perbualan hangat baik di kedai mamak, di pejabat atau online chatting, blogging dan lain-lain medium.  Ramai yang menceburi dalam pelaburan ini sejak kebelakangan ini berikutan harga emas yang meningkat di pasaran dunia akibat kejatuhan nilai dolar dan permintaan yang tinggi di pasaran global.
Pelaburan emas seiring dengan pelaburan-pelaburan lain memerlukan ilmu, pengetahuan dan komitmen. Pelaburan sepatutnya bukan kerana pengaruh blog, ataupun ajakan kawan-kawan yang terpengaruh dengan kenaikan nilai dan keuntungan yang mendadak dalam masa yang singkat. Kefahaman tentang konsep pelaburan, dan kepelbagaian pelaburan adalah penting supaya anda tidak terperangkap dengan meletakkan kesemua simpanan dalam satu instrumen pelaburan sahaja, atau membuat pinjaman yang banyak dengan kos pinjaman yang tinggi untuk membeli emas tanpa membuat perhitungan yang terperinci. Sekiranya harga terus meningkat, anda mungkin bernasib baik kerana dapat mendapat untung berkali ganda, sebaliknya anda akan berhadapan dengan kerugian sekiranya terpaksa melupuskan pelaburan emas di kala memerlukan tunai dan harga emas di pasaran mungkin tidak menyebelahi jangkaan anda.
Perlu diingat, pergerakan harga pasaran akan terdapat turun naik dalam jangka masa pendek, sederhana atau panjang walaupun pergerakan harga emas akan meningkat berbanding dollar dalam jangka masa panjang. Harga emas pernah melonjak melebihi $800 pada tahun 1980 apabila Soviet Union menyerang Afghanistan dan jatuh di sekitar $400.  Harga kembali meningkat melebihi $800 hanya pada tahun 2008, iaitu setelah 18 tahun. Bayangkan, anda melabur kesemua simpanan dan terpaksa menanti dalam satu tempoh yang lama untuk mengembalikan modal. Adakah anda akan terus menunggu, atau terpaksa melupuskan pegangan untuk membiayai perbelanjaan?


Teringat pesan emak, “kalau ada duit, beli emas sikit-sikit dan simpan bila masa memerlukan kelak, jangan beli hari ini dan jual tahun depan, simpanlah untuk anak-anak”.
Sebenarnya pesanan di atas mengandungi beberapa intipati penting yang seiring dengan konsep pelaburan yang dipelajari dalam Investment and Portfolio Management atau ilmu pelaburan moden.
  • Pelaburan perlu dipelbagaikan (diversify), “Don’t put all eggs in one basket”. Tunai dan pelaburan lain perlu dipecah atau diagih-agihkan bagi mengurangkan risiko pelaburan.
  • Pembelian emas hendaklah dibuat secara berperingkat-peringkat (leveraging) dalam tempoh masa yang panjang. Bukannya beli kesemua pada satu masa sahaja kerana pergerakan harga adalah berubah-ubah, cuba pelajari atau fahami pergerakan harga dan beli bila harga yang dikira rendah. Yang perting mesti ada ilmu dan buat keputusan berdasarkan pengetahuan dan bukan hanya terpengaruh dengan pihak ketiga.
  • Pelaburan emas adalah pelaburan jangka panjang, pada masa sekarang ramai yang membandingkan peningkatan emas yang mendadak, mungkin mencecah 20% pada tahun 2009 dan 2010 untuk meyakinkan pelabur agar terus melabur. Keuntungan mendadak ini mungkin tidak lagi diperolehi pada masa akan datang sekiranya harga emas di pasaran dunia stabil. Mungkin ada yang tidak sabar untuk menunggu kenaikan harga dan keluar dari menceburi pelaburan ini sebagaimana ramai yang terikut-ikut berkecimpung dalam pelaburan saham pada sebelum harga jatuh pada 1997.
  • Melabur dengan simpanan sendiri, bukan dengan sumber pinjaman atau menggunakan personal loan, kredit kad atau along. Kos pinjaman yang tinggi mungkin mengurangkan keuntungan atau merugikan sekiranya tidak berhati-hati. Contoh mudah, Encik A membuat pelaburan bijak dengan menbeli  1oz Kijang Emas pada awal Januari 2010. Harga Kijang Emas RM3,902. Beliau memerlukan tunai pada akhir 2010 dan menjual kembali 1 oz Kijang Emas pada 24/12/2010 dengan harga RM4,387. Keuntungan beliau adalah RM485 atau 12.42%. Pembelian Kijang Emas dibiayai sepenuhnya dengan pengeluaran tunai dari kad kredit. Dalam tempoh setahun, caj kad kredit adalah 18%, untuk hutang sebanyak RM3,902, caj dikenakan adalah RM702 dan caj pengeluaran tunai  5% sebanyak RM195. Jumlah caj kad kredit adalah RM897. Secara keseluruhan beliau kerugian RM412 untuk membiayai pelaburan emas sebanyak RM3,902. Adakah ini bijak? (InsyaAllah, saya akan cuba buat perbandingan melabur dengan sumber pinjaman atau melabur sikit-sikit dengan duit sendiri pada posting akan datang).


Akhir kalam, melaburlah dengan menggunakan akal bukan mengikut nafsu supaya simpanan tidak jadi lebur.

Monday, December 27, 2010

Permata Yang Hilang???....Tidak!

Saya berminat melabur emas, apakah jenis pelaburan emas yang boleh saya labur?

Pelaburan adalah satu tajuk yang besar, pelbagai instrumen pelaburan yang ada di dalam negara ataupun di luar negara dengan pulangan dan risiko pelaburan yang berbeza. Pulangan dan risiko adalah seiringan antara satu sama lain. Bila pulangan dijangka besar, risiko terhadap pelaburan juga besar.
Sebagai perbandingan, pelaburan skim cepat kaya mungkin menjanjikan pulangan 100% ataupun 200% setahun dari nilai pelaburan asal, risiko anda akan kerugian kesemua pelaburan anda adalah juga tinggi berbanding dengan pelaburan dalam bond kerajaan atau simpanan di bank atau ASB atau pelaburan emas.
Kebelakangan ini harga emas melonjak berikutan kelemahan nilai dollar dan permintaan yang tinggi di pasaran. Ramai yang berminat untuk membuat pelaburan dalam emas, tapi apakah jenis-jenis pelaburan emas yang ada dan di mana boleh kita melabur. Emas dikategorikan sebagai salah satu instrumen pelaburan yang selamat yang digunakan untuk mengekang inflasi. Inflasi akan mengurangkan nilai pelaburan matawang sesebuah negara, bila inflasi tinggi, kuasa beli sesuatu matawang akan jatuh. Sila lawat posting saya sebelum ini untuk mengetahui lebih lanjut apakah inflasi dan ancaman kepada matawang here.

Walaubagaimanpun, harga emas tertakluk kepada turun naik harga pasaran semasa dan seseorang pelabur sepatutnya tidak terlalu ghairah melabur kesemua simpanan yang ada dalam pelaburan emas. Konsep pelaburan "Don't Put All Your Eggs in One Basket" hendaklah difahami sebelum membuat apa-apa keputusan pelaburan.
Sekiranya sebahagian simpanan anda diagihkan kepada pelaburan emas, pelaburan emas boleh dipecahkan kepada dua kategori: 
  • Akaun Pelaburan Emas.
  • Belian Emas Secara Fizikal

Akaun Pelaburan Emas

Anda boleh melabur dengan membuka akaun Gold Investment Account dengan Public Bank atau Maybank  Gold Savings Passbook Account.  Pelabur tidak perlu memegang emas secara fizikal dan nilai pelaburan bergantung kepada turun naik harga emas di pasaran.

Institusi
Belian minima
Baki minima
Maybank GSPA
5 gram
1 gram
Public Bank GIA
20 gram
2 gram


Belian Emas Secara Fizikal
Pelaburan Emas secara fizikal dibahagi kepada beberapa jenis:
(a)    Bullion Coins – Jenis-syiling bullion yang dikeluarkan;




Maybank dan CIMB dilantik sebagai pengedar Kijang Emas, manakala UOB mengedar Canadian Maple, Singapore Lion, Pamp Suisse Gold dan Australian Nuggets.


(b)   Emas Perhiasan (jewellery)

Emas perhiasan dapat dibahagi kepada beberapa jenis mengikut gred dan boleh diperolehi secara mudah di kedai-kedai emas dan juga melalui pembelian secara online. Bagaimanapun anda perlu berhati-hati memilih penjual yang menjual barangan kemas baru atau terpakai secara online, dan perlu memastikan penjual emas yang tulen yang menjual barangan asli sebelum membuat pembayaran bagi mengelakkan masalah di kemudian hari.

Kadar ketulenan emas yang menentukan nilai emas, sila lihat carta di bawah:



Kadangkala kita agak keliru dengan berat emas yang disebut dengan sukatan yang berbeza-beza, ada yang biasa dengan sukatan tahil, mayam, gram dan ounce. Carta di bawah mungkin membantu:



Harga Beli
Harga barangan kemas yang dibeli biasanya ditentukan begini:


(Harga Emas Semasa  X Jenis Emas) + Kos Upah* = Harga Beli

*Kos Upah = Kos Pekerja + Masa (mungkin berbeza berdasarkan jenis barangan dan tempat pembelian)

Harga Jual barang kemas

(Harga Emas Semasa X Jenis Emas) - Susutnilai * = Tunai Diperolehi

* Susutnilai mungkin berbeza antara penjual emas dan barang kemas (sekiranya anda ingin menjual, cuba bertanya beberapa kedai emas untuk mendapat harga jual terbaik)


Selamat melabur.



Sunday, December 26, 2010

Antara US Dollar dan Dinar Emas

Kembalikan kilauan dinar emas!
Oleh NOORZIHAN MOHAMED YIN

Amerika Syarikat (AS) yang menjadi tonggak kepada ekonomi kapitalis kini berada pada tahap terburuk dan lembap. Kelembapan itu turut menjangkiti negara-negara lain di dunia. Tiga per empat daripada dolarnya berada di luar negara dengan nilai yang terus menyusut.

Kegemilangannya dilihat terus merudum. Tidak seperti detik bersejarah Perjanjian Bretton Woods pada tahun 1944 yang telah menipu dan memperdaya 44 buah negara supaya bersetuju menyandarkan mata wang kertas negara mereka kepada dolar AS. Tipu daya itu berlangsung menerusi jaminan adikuasa itu bahawa dolarnya adalah bersandarkan kepada emas iaitu sebanyak US$35 bagi setiap auns.

Penipuan terbesar adalah semasa pemerintahan Presiden Nixon yang mana pada tanggal 15 Ogos 1971 secara unilateral telah memungkiri perjanjian Bretton Woods dengan tidak lagi menyandarkan dolarnya kepada emas akibat kemelesetan ekonomi yang disebabkan oleh keperluan pembiayaan Perang Vietnam serta defisit imbangan pembayaran yang berterusan.

Semenjak runtuhnya Perjanjian Bretton Woods, sistem kewangan dunia telah digantikan dengan sistem mata wang apungan di mana nilai mata wang sesebuah negara, dinilaikan pada mata wang negara lain. Kaedah ini mengakibatkan ketidaktentuan turun naik nilai mata wang sekaligus memberi peluang kepada spekulator mata wang mengaut keuntungan atas kerugian negara lain. Richard Duncan, dalam bukunya “The Dollar Crisis,” meramalkan kemungkinan satu krisis ekonomi yang mungkin lebih buruk daripada ‘Great Depression’ seandainya sistem kewangan sekarang diteruskan.

Melihat kepada kekurangan yang ada pada sistem mata wang apungan ini, ramai pakar ekonomi berpendapat bahawa penggunaan dinar emas adalah sangat disyorkan agar digunapakai kembali sebagai alat menyimpan nilai dan perantara pertukaran terutama dalam perdagangan antarabangsa. Langkah ini disyorkan kerana dinar emas terkenal dengan sifat stabil terhadap aktiviti spekulasi dan manipulasi.

Dari segi tabungan, emas lebih stabil berbanding wang kertas kerana nilainya tidak mengalami turun naik yang ekstrem dan tidak merosot akibat inflasi. Dari segi zakat, hukum Islam menetapkan bahawa zakat hanya boleh dibayar dalam bentuk barangan nyata. Dinar emas sangat sesuai berbanding wang kertas kerana wang kertas hanya laku atas jaminan kerajaan yang mengeluarkannya. Sedangkan emas tidak memerlukan mana-mana pihak untuk mengesahkan nilainya kerana ia dengan sendirinya mempunyai nilai.

Umar Ibrahim Vadillo merupakan individu yang melihat penggunaan dinar emas sebagai jalan penyelesaian kepada krisis ekonomi dunia. Beliau telah berusaha keras untuk mencipta iklim ekonomi yang bersandarkan dinar emas yang sepatutnya menjadi mata wang umat Islam. Malah, beliau juga yang telah melobi Tun Mahathir selepas negara di landa krisis mata wang pada tahun 1997 untuk bertukar kepada penggunaan dinar emas. Hujahnya, mata wang dinar emas bukan sahaja mampu dijadikan sebagai kaedah utama pembayaran berikutan terdapat lebih daripada satu bilion umat Islam di dunia ini malah kedudukan ekonomi sesebuah negara akan lebih terjamin kerana dinar emas merupakan komoditi yang mempunyai harga yang stabil.

Pada tanggal 18 Ogos 1991, beliau dengan lantang telah mengeluarkan fatwa bahawa wang kertas adalah haram. Fatwa berkenaan merumuskan bahawa wang kertas adalah satu bentuk hutang (janji yang dibayar oleh pihak yang mengeluarkannya) dan oleh itu tidak boleh digunakan sebagai alat pembayaran. Ini bertepatan dengan takrifan daripada Imam Malik r.a. yang mentakrifkan wang sebagai “sebarang komodititi yang diterima umum digunakan sebagai alat pertukaran”. Oleh yang demikian, manusia mempunyai kebebasan untuk memilih sebarang komoditi yang bernilai sebagai mata wang dan bukan mata wang yang dipaksa nilai ke atasnya.

Menyelusuri sejarah, dinar emas telah menjadi piawai bagi mata wang dunia, selama beribu-ribu tahun, sehinggalah ia diganti kepada wang kertas dolar hanya pada awal tahun 1970-an.

Dinar berasal dari perkataan bahasa Latin Denarius iaitu matawang yang digunakan oleh Kerajaan Rom yang diperbuat dari logam perak. Ianya digunakan pada tahun 211 sebelum masihi di mana 1 denarius perak beratnya kira - kira 4.5 gram.

Dari perkataan Denarius ini, wujudlah pelbagai matawang yang lain seperti Denier (mata wang perak Perancis), Denaro (mata wang perak Itali), Dinar (mata wang emas Islam), Dinero (mata wang perak Sepanyol) dan Dinheiro (mata wang perak Portugis).

Pada penghujung zaman Republik Roman, mata wang Denarius dari logam emas mula digunakan dengan dikenali sebagai Denarius Aureus yang bermaksud Denarius Emas. Semenjak dari itu, perkembangan mata wang emas telah berubah mengikut peredaran zaman di mana semasa pemerintahan Constantine The Great (306 – 377 Tahun Masihi) mata wang emas lama telah ditukar dengan mata wang yang lebih ringan yang dikenali sebagai Solidus yang beratnya 4.5 gram.

Mata wang emas Solidus ini telah digunakan sehingga berakhirnya zaman Empayar Byzantium dan telah tersebar penggunaannya ke seluruh Semenanjung Tanah Arab sehinggalah ke zaman awal Islam. Dari zaman bermula berkembangnya agama Islam, penggunaan mata wang dinar emas dan dirham perak dari Parsi telah digunakan menjadi mata wang bagi setiap ummah ketika itu dalam urusan jual beli.

Hanya pada zaman pemerintahan Khalifah yang ke-3 iaitu Khalifah Saiyidina Ummar al-Khattab (13 – 23 hijrah / 633 – 644 masihi), penggunaan mata wang dinar dan dirham mula dikawal dari segi corak dan berat. Di bawah pemerintahan Khalifah Ummar, corak mata wang Islam telah diukir dengan nama Allah s.w.t. dan sebahagian dari ayat-ayat suci al-Quran. Berat mata wang Islam ini juga telah ditetapkan iaitu mata wang dinar mestilah mengandungi emas seberat 1 mithqal (iaitu seberat 4.25 gram ukuran pada masa kini). Manakala bagi mata wang dirham pula, beratnya adalah sebanyak 2.975 gram perak (ukuran pada masa kini) di mana jika nilai tukarannya dengan dinar ialah 7 dinar emas bersamaan dengan 10 dirham perak.

Kepentingan dinar emas jelas dicatat dalam buku Ibn Khaldun yang bertajuk “al-Muqaddimah.” Di dalam buku tersebut, mencatatkan akan wahyu Allah s.w.t. memasukkan dinar serta dirham dan ini telah membawa bersamanya banyak kaitan dalam hukum seperti zakat, perkahwinan dan hudud. Sebab itu di dalam wahyu Allah s.w.t. dengan jelas telah menyatakan akan ukuran yang tetap mengenai zakat dan sebagainya dengan menggunakan dinar dan dirham tidak dengan yang lain.

Islam mementingkan keredaan Allah s.w.t. dalam setiap pelakuan dan pekerjaan yang dilakukan kerana keredaan Allah s.w.t. akan memberikan kesejahteraan kepada kehidupan dunia dan akhirat. Idea mengembalikan dinar emas bukan suatu perkara kecil kerana ia secara langsung atau tidak, turut melibatkan soal sistem sosial, ekonomi, politik, dan keberkatan dari-Nya.

Malah, kelemahan umat Islam sedunia mula ketara apabila berakhirnya penggunaan dinar emas. Menurut sejarah, pemerintahan Islam di bawah Khalifah Uthmaniyah di Istanbul, Turki telah dihelah dengan kemajuan dan pembangunan. Pinjaman wang kertas daripada Eropah untuk membangunkan Turki telah menjadikan negara tersebut berhutang dan melalui sistem wang kertas bersama riba telah melemahkan pemerintahan Khalifah.

Riba sangat dibenci Allah s.w.t dan Rasulullah s.a.w. Ini diterangkan dalam al-Quran yang bermaksud: “Maka jika kamu tidak mengerjakan (meninggalkan sisa riba) maka ketahuilah bahawa Allah dan Rasul-Nya akan memerangi kamu. Dan jika kamu bertaubat (dari pengambilan riba), maka bagimu pokok hartamu, kamu tidak menganiaya dan tidak (pula) dianiaya,” (al Baqarah:279).

Memang tidak dapat dinafikan, sistem wang dunia berasaskan wang kertas dan berlandaskan riba ini telah telah membawa kepada banyak kerosakan seperti kemiskinan, kerosakan alam sekitar, monopoli pengeluaran dan pengedaran. Sistem ini juga menimbulkan berbagai masalah seperti pengangguran, jenayah, maksiat dan kejatuhan moral. Sistem ini yang dikendalikan oleh institusi perbankan, sistem demokrasi dan ahli politik yang tidak bertanggungjawab telah memberi sumbangan kepada kesengsaraan masyarakat dunia.

Ibnu Abbas r.a. dari Ishaq Ibn Basheer dan Ibn Asakir di Kanz al-Ummal mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda, yang bermaksud: “Orang yang pertama mengikuti Dajjal adalah 70,000 orang Yahudi...dan antara tanda pelepasan Dajjal adalah amalan riba.”

Kini, dinar emas telah kembali dan ramai umat Islam dan bukan Islam dari seluruh dunia menyeru supaya dinar emas ini dikembalikan. Ditengah-tengah kekalutan ekonomi yang melanda kini, kilauan dinar emas dilihat dapat mengembalikan sistem kewangan yang lebih munasabah dan mantap. Ramai yang telah sedar akan tipu helah sistem kewangan yang ada dan masyarakat dunia sudah mula meminta supaya mengembalikan kebebasan untuk memilih. Sekiranya demokrasi dilaungkan di seluruh dunia supaya diamalkan dalam semua perkara, mengapa tidak kebebasan diberikan untuk memilih dinar sebagai wang?
(Petikan daripada laman web YADIM 25 Julai 2008)

Saturday, December 25, 2010

Resources : Data & Charts

Pergerakan Harga Kijang Emas 2001 - Semasa







Kijang Emas : Technical Specifications




Peratusan Spread Harga Emas



Pergerakan Harga Emas Jangka Panjang (1970 - current)


Mengenali Jenis-Jenis Emas



Unit-unit Timbanga Emas



Friday, December 24, 2010

Kais Pagi Makan Bulan Lepas

Kata Pepatah "Kais Pagi Makan Pagi Kais Petang Makan Petang"
Pepatah "kais pagi makan pagi, kais petang makan petang" selalu digunakan untuk menggambarkan keperitan hidup sesebuah keluarga yang mana ketua keluarga berusaha keras mencari nafkah bagi menampung hidup. Mungkin ada yang terbayang para petani atau nelayan yang berusaha keras mencari nafkah hidup. Adakah pepatah ini masih sesuai dan boleh digunakan untuk masyarakat kota, dan sesuai pada yang makan gaji bulanan - berpendapatan rendah, sederhana atau golongan menengah di bandar?
Mereka biasanya terbelenggu dengan hutang; hutang rumah, hutang kereta, hutang kredit kad, hutang peribadi perbelanjaan perkahwinan yang masih lagi belum habis walaupun sudah ada anak empat atau lima orang. Maklumlah hutang peribadi sebanyak RM20,000 selama 10 tahun, yang mungkin akan selesai lagi 2 tahun. Itupun sudah berangan untuk buat permohonan baru untuk menampung pelbagai perbelanjaan seharian termasuk belanja persekolahan anak-anak.

Ilustrasi ringkas pendapatan dan perbelanjaan bulanan sebuah keluarga golongan pertengahan, suami–isteri bekerja dengan gaji lepasan ijazah seperti di bawah.


Golongan berpendapatan sederhana ini biasanya mempunyai 2 buah kereta kerana suami dan isteri bekerja di tempat berlainan. Kereta kebiasaannya dibiayai dengan hutang antara 70% – 90% dari harga kereta dengan tempoh hutang antara 5 hingga 9 tahun. [Dalam posting lain, saya akan jelaskan beza hutang 70% atau bayar RM1000 sahaja pendahuluan untuk pembiayaan kereta, apa beza tempoh hutang, dan apa impaknya kepada kewangan jangka panjang]. Mereka biasanya tinggal di rumah teres atau apartment di pinggir kota yang dibeli dengan hutang jangka panjang 20 atau 25 tahun.
Pepatah kais pagi makan pagi, kais petang makan petang menggambarkan pendapatan yang diperolehi secara tunai untuk menampung perbelanjaan seharian secara tunai tanpa hutang. Pendapatan dan perbelanjaan petani dan nelayan adalah secara tunai kerana tiada kaedah hutang, mungkin hanya buku 555 di kedai runcit digunakan di masa kemarau atau musim tengkujuh yang panjang.

Adakah pendapatan dan kehidupan petani dan nelayan lebih baik dari sudut kewangan dan kekeluargaan?

Anak-anak petani terjaga dan diasuh oleh ibu, seorang surirumah yang menguruskan makan pakai keluarga, bukan air tangan pembantu dari tanah seberang yang banyak keranah, ada yang suka melaram dengan hand-phone di tangan, dan asyik berbual dengan pembantu jiran kiri dan kanan.


 

Mereka tiada hutang jangka pendek, sederhana dan jangka panjang, tiada hutang rumah yang akan lupus 20 tahun mendatang, tiada hutang kereta buatan Korea mahupun kereta Malaysia dengan enjin dan badan teknologi Japan. Hutang kereta persis tiada kesudahan kerana di akhir tempoh hutang, kereta banyak meragam dan buku hutang baru akan dibuka untuk kereta idaman baru dengan air-cond yang lebih nyaman.

Mungkin pepatah kais pagi makan pagi dibaca sebagai "Kais pagi makan beberapa bulan lepas", yang lebih sesuai menggambarkan perbelanjaan disandarkan dengan hutang. Setelah 3 hari gaji, pendapatan lesap untuk ansuran rumah, kereta, kredit kad, hutang TV flat screen dan hutang peribadi. 10 hari sebelum gaji bulanan, kredit kad Maybank, CIMB mahupun Al-Rajhi Bank perlu diguris untuk perbelanjaan yang tidak dirancang, membeli-belah atau perbelanjaan akibat terikut-ikut citarasa jiran dan gaya hidup kawan-kawan.


Bagaimana dengan tabungan, simpanan di kala perlu atau kecemasan? Bagaimana pula dengan tabungan belanja pengajian anak-anak? Atau kita mengharapkan pinjaman pendidikan PTPTN yang bakal membelenggu siswazah muda dengan hutang sebelum mendapat pekerjaan. Dan bagaimana pula simpanan di hari tua yang akan datang sekiranya sepanjang bulan hutang-piutang perlu dijelaskan....  

100 Trillion Dollar??? Bestnyer kalau dapat duit banyak ni!!

Pagi itu aku melangkah ke pejabat, lalu terpandang sekeping matawang Zimbabwe yang bernilai 100 trillion dollar, (100,000,000,000,000 @ 14 angka kosong selepas angka 1). Bila ditilik ianya bukan matawang palsu, ianya mempunyai no. siri AA1215202 dikeluarkan oleh bank pusat Zimbabwe dan mempunyai ciri-ciri keselamatan seperti matawang yang dikeluarkan oleh bank-bank pusat negara lain.

“Mak  oii,..besarnya 100 trillion ni”!, kalkulator yang aku guna pun tak muat nak taip 15 angka, mesti banyak duit sesiapa yang memiliki nota kertas ini. Angka mungkin banyak, tapi berapa nilai 100 trillion dollar Zimbabwe ni sebenarnya…..??

 TIADA NILAI!!....valueless

Dalam posting sebelum ini, sedikit kupasan tentang inflasi yang mana mengurangkan kuasa beli sesuatu matawang. Sekiranya kadar inflasi 10% setahun, simpanan $100 akan mengurangkan kuasa beli sebanyak 10%. Barang yang beharga $100.00 pada awal tahun akan meningkat kepada $110.00 di akhir tahun. Kadar inflasi di Zimbabwe adalah 55% pada tahun 2000, 585% pada tahun 2005 dan 23115088% pada tahun 2008, bernilaikah 100 trillion dollar Zimbabwe ini sekiranya kadar inflasi setinggi ini?

Apa yang terjadi bila matawang sudah tiada kuasa beli, tidak bernilai?
Terpaksalah bawa kacang, kambing, ayam atau lain-lain komoditi yang boleh ditukarkan secara sistem barter bagi membiayai rawatan perubatan di hospital.

 Nilai kacang, ayam atau kambing untuk pembiayaian perubatan;

Diriwayatkan Abu Bakar Ibn Maryam pernah menceritakan bahawa beliau mendengar Rasulullah SAW telah bersabda: Akan tiba suatu zaman di mana tiada apa yang bernilai dan boleh digunakan oleh umat manusia kecuali EMAS dan PERAK - hadith riwayat Imam Ahmad Ibnu Hanbal.

MasyaAllah..benarlah apa yang disabdakan Rasulullah s.a.w lebih 1400 tahun lepas, krisis ekonomi yang melanda menyusutkan nilai matawang US Dollar yang sebelum ini dianggap kukuh dan menjadi pegangan penting dalam urus niaga antarabangsa.

Harga emas semasa melonjak hampir USD1400 satu ounce, melambung dari USD34 pada tahun 1970. Sebenarnya adakah harga emas melambung atau US Dollar yang menjadi sandaran telah menyusut nilai? Adakah US Dollar, British Pound ataupun Ringgit Malaysia akan mengalami nasib seperti Zimbabwe Dollar suatu hari nanti?
Masa menjadi penentu kebenaran sabda junjungan Rasulullah s.a.w.

Thursday, December 23, 2010

Masa Itu Emas

Kata orang tua-tua "Masa itu Emas".
Bila belajar Financial Management, orang putih kata "Time is Money".
Mulanya saya percaya juga cakap orang putih ni... tapi lama-kelamaan "wang" yang menggambarkan tentang sesuatu yang berharga terhakis apatah lagi bila krisis ekonomi dunia yang melanda kebelakangan ini.
Pepatah Melayu mungkin lebih tepat membuat penilaian tentang sesuatu yang berharga. Masa diibaratkan seperti emas sedangkan orang putih menganggap barang berharga itu seperti wang.
Mari kita lihat, orang tua kita lebih bijak atau mat salleh.

Time is Money!
Wang adalah sekeping nota yang dikeluarkan oleh bank negara sesebuah negara; kalau di US Reserve Bank of Amerika, di Malaysia Bank Negara Malaysia. Keluaran nota wang kertas ini dipiawai oleh bank negara, dan antara unjuran ekonomi yang dilihat adalah kadar inflasi. Apabila kadar harga barangan naik, kadar inflasi akan naik, dan bank pusat akan mengurangkan wang kertas di pasaran, sebaliknya bila kadar inflasi rendah, bank pusat akan mencetak lebih banyak wang kertas bagi menggalakkan aktiviti ekonomi.
Inflasi akan mengurangkan kuasa beli atau nilaian wang. Sekiranya anda menyimpan $1,000 tunai di bawah bantal pada tahun awal tahun 2009 dan kadar inflasi adalah 5%, pada awal tahun 2010 nilai wang anda akan berkurang kepada $950.00 sahaja.
Kadar inflasi Amerika dari tahun 1970 sehingga 2010 adalah 184%. Nilaian US$100 yang disimpan pada tahun 1970, kini menyusut 184%, bermakna barangan yang boleh dibeli dengan harga US$100 pada tahun 1970, kini memerlukan US$18,400!!. Time is money??

Masa itu Emas
Emak saya selalu berpesan, "kalau dapat gaji simpanlah sikit untuk beli emas", kalau beli emas tu "belilah emas 'sepuluh' i.e. emas 24 karat". Kita mengaji tinggi-tinggi simpan duit untuk beli kereta baru. Emak lagi terror merancang kewangan, atau saya yang belajar kat universiti ambil kursus Advanced Financial Management. Dalam posting lain nanti saya akan cerita kenapa emak cakap beli 'emas sepuluh', dan buktikan rupanya emak lagi terror dalam merancang kewangan.

Berbalik kepada Masa itu Emas
Harga purata satu ounce emas tulin 99.99 pada tahun 1970 adalah US$35.94, tahun 1975 - US$160.86, 1980 - US$613.95, 1990 - turun US$383.64, 2005 - US$444.51, 2009 - US$972.35 dan kini sekitar US$1300 setiap 1 ounce. Emas yang disimpan pada tahun 1970 memberi pulangan sebanyak 3614%. Mungkin kita belum lahir pada masa itu dan tidak berpeluang membeli emas pada tahun 1970, hanya berpeluang membeli emas tahun 2005, ia memberi pulangan 192%. Manakala emas yang disimpan tahun lepas 2009 memberi pulangan sebanyak 33.74%.
Ini baru betul "masa itu emas"!!

Salam Malam Pertama

Selamat Datang/ Ahlan Wasahlan/ Kia Ora ke blog ini.

Blog ini secara ringkas mengupas isu perancangan kewangan peribadi; bagaimana, bila, di mana menyimpan aset, bagaimana berbelanja secara berhemah dan untuk apa kita perlu berhutang, cara menguruskan hutang, bagaimana menjimatkan kos hutang dan lain-lain isu menjurus kepada kawalan dan pentadbiran urusan kewangan peribadi anda.

Urusan kewangan peribadi biasanya tidak dipelajari secara formal. Urusan atau pentadbiran kewangan peribadi hanyalah berbentuk 'gut feeling', i.e. rasa ada duit sikit dalam dompet, kita akan berbelanja, bila nampak banyak lagi kredit yang ada dalam statement kredit kad, kita akan senang hati untuk swipe kredit kad.

Blog ini juga menjurus kepada topik pelaburan emas, sama ada emas bullion, syiling emas, barang kemas dan pelaburan bersangkutan perak dan lain-lain komoditi 'semi-precious' metal. Kami akan membawa isu-isu terkini tentang pelaburan emas, maklumat-maklumat terperinci dan data-data yang berkaitan bagi membantu anda membuat pelaburan dalam instrumen ini.

Pepatah Melayu "masa itu emas", orang putih cakap "time is money"..sekali imbas ianya nampak sama, tapi sebenarnya tidak serupa. Kami akan cuba untuk merungkaikan apa perbezaan di antara kedua-dua pepatah ini.

Jumpa dalam posting berikutnya. Terima kasih.

Editor
emasdanwang