Mungkin ada yang terlupa.
Pelaburan emas sejak kebelakangan ini menjadi tajuk perbualan hangat baik di kedai mamak, di pejabat atau online chatting, blogging dan lain-lain medium. Ramai yang menceburi dalam pelaburan ini sejak kebelakangan ini berikutan harga emas yang meningkat di pasaran dunia akibat kejatuhan nilai dolar dan permintaan yang tinggi di pasaran global.
Pelaburan emas seiring dengan pelaburan-pelaburan lain memerlukan ilmu, pengetahuan dan komitmen. Pelaburan sepatutnya bukan kerana pengaruh blog, ataupun ajakan kawan-kawan yang terpengaruh dengan kenaikan nilai dan keuntungan yang mendadak dalam masa yang singkat. Kefahaman tentang konsep pelaburan, dan kepelbagaian pelaburan adalah penting supaya anda tidak terperangkap dengan meletakkan kesemua simpanan dalam satu instrumen pelaburan sahaja, atau membuat pinjaman yang banyak dengan kos pinjaman yang tinggi untuk membeli emas tanpa membuat perhitungan yang terperinci. Sekiranya harga terus meningkat, anda mungkin bernasib baik kerana dapat mendapat untung berkali ganda, sebaliknya anda akan berhadapan dengan kerugian sekiranya terpaksa melupuskan pelaburan emas di kala memerlukan tunai dan harga emas di pasaran mungkin tidak menyebelahi jangkaan anda.
Perlu diingat, pergerakan harga pasaran akan terdapat turun naik dalam jangka masa pendek, sederhana atau panjang walaupun pergerakan harga emas akan meningkat berbanding dollar dalam jangka masa panjang. Harga emas pernah melonjak melebihi $800 pada tahun 1980 apabila Soviet Union menyerang Afghanistan dan jatuh di sekitar $400. Harga kembali meningkat melebihi $800 hanya pada tahun 2008, iaitu setelah 18 tahun. Bayangkan, anda melabur kesemua simpanan dan terpaksa menanti dalam satu tempoh yang lama untuk mengembalikan modal. Adakah anda akan terus menunggu, atau terpaksa melupuskan pegangan untuk membiayai perbelanjaan?
Teringat pesan emak, “kalau ada duit, beli emas sikit-sikit dan simpan bila masa memerlukan kelak, jangan beli hari ini dan jual tahun depan, simpanlah untuk anak-anak”.
Sebenarnya pesanan di atas mengandungi beberapa intipati penting yang seiring dengan konsep pelaburan yang dipelajari dalam Investment and Portfolio Management atau ilmu pelaburan moden.
- Pelaburan perlu dipelbagaikan (diversify), “Don’t put all eggs in one basket”. Tunai dan pelaburan lain perlu dipecah atau diagih-agihkan bagi mengurangkan risiko pelaburan.
- Pembelian emas hendaklah dibuat secara berperingkat-peringkat (leveraging) dalam tempoh masa yang panjang. Bukannya beli kesemua pada satu masa sahaja kerana pergerakan harga adalah berubah-ubah, cuba pelajari atau fahami pergerakan harga dan beli bila harga yang dikira rendah. Yang perting mesti ada ilmu dan buat keputusan berdasarkan pengetahuan dan bukan hanya terpengaruh dengan pihak ketiga.
- Pelaburan emas adalah pelaburan jangka panjang, pada masa sekarang ramai yang membandingkan peningkatan emas yang mendadak, mungkin mencecah 20% pada tahun 2009 dan 2010 untuk meyakinkan pelabur agar terus melabur. Keuntungan mendadak ini mungkin tidak lagi diperolehi pada masa akan datang sekiranya harga emas di pasaran dunia stabil. Mungkin ada yang tidak sabar untuk menunggu kenaikan harga dan keluar dari menceburi pelaburan ini sebagaimana ramai yang terikut-ikut berkecimpung dalam pelaburan saham pada sebelum harga jatuh pada 1997.
- Melabur dengan simpanan sendiri, bukan dengan sumber pinjaman atau menggunakan personal loan, kredit kad atau along. Kos pinjaman yang tinggi mungkin mengurangkan keuntungan atau merugikan sekiranya tidak berhati-hati. Contoh mudah, Encik A membuat pelaburan bijak dengan menbeli 1oz Kijang Emas pada awal Januari 2010. Harga Kijang Emas RM3,902. Beliau memerlukan tunai pada akhir 2010 dan menjual kembali 1 oz Kijang Emas pada 24/12/2010 dengan harga RM4,387. Keuntungan beliau adalah RM485 atau 12.42%. Pembelian Kijang Emas dibiayai sepenuhnya dengan pengeluaran tunai dari kad kredit. Dalam tempoh setahun, caj kad kredit adalah 18%, untuk hutang sebanyak RM3,902, caj dikenakan adalah RM702 dan caj pengeluaran tunai 5% sebanyak RM195. Jumlah caj kad kredit adalah RM897. Secara keseluruhan beliau kerugian RM412 untuk membiayai pelaburan emas sebanyak RM3,902. Adakah ini bijak? (InsyaAllah, saya akan cuba buat perbandingan melabur dengan sumber pinjaman atau melabur sikit-sikit dengan duit sendiri pada posting akan datang).
Akhir kalam, melaburlah dengan menggunakan akal bukan mengikut nafsu supaya simpanan tidak jadi lebur.
No comments:
Post a Comment